“Selawat Allah ke atas junjungan Muhammad, dan keluarga Muhammad, sebagaimana selawat-Mu ya Allah ke atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim,” bicara tasyahhud kita saban masa.
Salah satu dari ibadah besar yang dilakukan pada hari raya Aidiladha ialah ibadah Qurban. Namun ibadah ini semakin tidak diambil berat oleh umat Islam walaupun ia dikategorikan sebagai `sunnat muakkad’ atau sunat yang diberatkan.
Di surau atau masjid kita akan perhatikan ada beberapa ekor lembu sahaja akan dikorbankan padahal ada beratus atau beribu keluarga Islam di sekeliling surau atau masjid tersebut.
Persoalannya kemanakah mereka menghilang? Kenapakah ini berlaku? Adakah kerana keluarga2 Islam itu tidak mampu melakukan ibadat korban?
Sebenarnya kos ibadat korban sangat sedikit iaitu hanya sekitar RM360 untuk satu bahagian iaitu minima untuk satu keluarga jika hendak menyertai ibadat kurban. RM360 boleh dikumpulkan dengan hanya melakukan simpanan RM1 setiap hari selama setahun.
Rata2 orang Islam sanggup melanggan broadband internet sebanyak hampir RM100 sebulan yang bermakna lebih dari RM1,200 setahun. Tetapi kenapa tak sanggup belanja 25% peratus dari kos tersebut untuk tujuan ibadat sunnat yang dituntut oleh Allah? Mungkin kerana kurang pengetahuan berkaitan pensyariatan dan fadhilat korban itu sendiri?
Moga dalil-dalil nakli yang saya titipkan ini mampu mengubah minda umat islam kursusnya umat islam di Malaysia untuk beramai-ramai melakukan ibadah korban.
“Dari Aisyah r.a. katanya; Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiada amalan anak Adam pada hari Aidil Adha yang disukai Allah selain daripada menyembelih korban. Korban-korban itu akan datang kepada orang yang melakukannya pada hari kiamat seperti keadaan semula, iaitu dengan anggotanya, tulangnya, tanduknya dan bulunya. Darah korban itu lebih dahulu jatuh ke suatu tempat yang disediakan Tuhan sebelum jatuh ke atas tanah. Oleh sebab itu, berkorbanlah dengan senang hati”.
(at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Korban adalah salah satu ibadat yang paling disukai Allah S.W.T. yang dilakukan oleh hambanya semata-mata kerana Allah, dan mengharapkan keredhaanNya.
Binatang-binatang korban akan datang pada hari kiamat nanti kepada orang yang melakukannya dengan keadaan seperti asalnya.
Darah korban itu terlebih dahulu jatuh ketempat yang disediakan oleh Allah S.W.T. sebelum ianya jatuh ke tanah. Darah yang menitis jatuh menjadi keampunan bagi dosa yang telah lalu.
Islam menggalakkan umatnya agar berkorban dengan binatang yang disayangi dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T.
- Orang Berkemampuan Dituntut Untuk Berkorban
Dari Ibnu Abbas r.a. bahawa datang seorang lelaki kepada Nabi s.a.w. lalu berkata: Sesungguhnya sudah menjadi kewajibanku berkorban seekor unta dan aku orang kaya tetapi aku tidak dapat mencari unta untuk dibeli. Orang itu diperintahkan oleh Nabi s.a.w. supaya membeli tujuh ekor kambing lalu disembelihnya”(Ahmad dan Ibnu Majah)
Ibadat korban adalah salah satu suruhan agama yang telah disyariatkan dalam Islam, oleh itu bagi mereka yang berkemampuan untuk berkorban, maka hendaklah berkorban demi melaksanakan syariat tersebut.
Keutamaan binatang korban dimulai daripada unta, jika tidak ada unta berkorbanlah dengan lembu, jika tidak ada lembu berkorbanlah dengan tujuh ekor kambing.
Korban yang paling sedikit ialah seekor kambing iaitu untuk seorang, manakala seekor unta atau lembu pula adalah untuk tujuh orang.Dari Jabir r.a. katanya: “Kami menunaikan Haji bersama Rasulullah s.a.w. maka kami sembelih seekor unta buat tujuh orang, dan seekor lembu buat tujuh orang”
(Ahmad dan Muslim)
Korban bermakna menghampirkan diri atau mendekatkan diri kepada Allah S.W.T, dengan menyembelih binatang korban untuk disedekahkan dagingnya kepada golongan fakir miskin.
Syarat-syarat binatang ternakan untuk ibadat korban adalah terdiri daripada binatang-binatang seperti unta, lembu, kambing atau kibas, yang umurnya dua tahun serta sihat dan tidak cacat.
Korban bagi seekor unta atau lembu adalah untuk tujuh orang, manakala kambing adalah untuk seorang.
Dari Al Bara’ bin ‘Azib r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang menyembelih sebelum sembahyang (Aidil Adha), maka penyembelihan itu untuk dirinya sendiri dan siapa yang menyembelih sesudah sembahyang (Aidil Adha), maka sesungguhnya ia telah menyempurnakan korbannya dan telah mengikut sunnah kaum muslimin”. (al-Bukhari)
Masa atau waktu penyembelihan korban itu ialah selepas menunaikan sembahyang sunat Aidil Adha.
Sesiapa yang menyembelih sebelum sembahyang, maka penyembelihan itu hanya untuk dirinya sendiri dan bukanlah termasuk dalam ibadat korban.
Manakala sesiapa yang menyembelih selepas sembahyang Aidil Adha, maka ia telah menyempurnakan korbannya dengan mengikut sunnah.
Ibadat korban hendaklah dilakukan pada musim haji, menurut Imam Syafie. Waktu penyembelihannya ialah pada 10 Zulhijjah dan hari-hari tasyrik, iaitu pada 11,12, dan 13 Zulhijjah.
Dari Aisyah r.a. daripada Nabi s.a.w. sabdanya: Berkorbanlah kamu dengan hati yang redha, sesungguhnya tiap-tiap muslim yang menghadapkan sembelihannya ke arah kiblat, maka darahnya, kotorannya dan bulunya itu adalah kebajikan dan bakti kepada timbangannya pada hari kiamat.
(al-Baihaqi)
Darah korban itu dapat memberatkan timbangan kebajikan di hari kiamat setelah amal dihisab di hadapan Tuhan
Berkorban dapat mendekatkan diri (taqarrub kepada Allah S.W.T.) disamping dapat berbakti kepada manusia.
Menghidupkan sunnah Nabi Ibrahim a.s. itu menjadi satu ibadat yang utama bagi umat Muhammad s.a.w.
Binatang korban, daging tulang dan sebagainya, dapat dibahagi-bahagikan kepada golongan yang memerlukan. Dengan cara ini umat Islam dapat merapatkan lagi hubungan mesra sesama Islam, disamping dapat bantu membantu antara satu sama lain.
Berkorban juga adalah tanda kesyukuran di atas segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada manusia.
Ancaman terhadap orang yang mampu melakukan qurban tetapi tidak melaksanakannya. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya, sabda Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:
Maksudnya: “Barangsiapa yang ada kemampuan untuk berqurban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat sembahyang kami”.
Saidatun Nor bt Awang@Dahalan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan