Halaman

Pengikut

Khamis, 4 November 2010

Selamat Bermujahadah!


Assalamualaikum wbt.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W serta ahli keluarga, sahabat-sahabat serta semua pengikut baginda yang mendaulatkan syariat Islam. Salam takzim dan kerahmatan nikmat Islam dan iman buat sahabat-sahabat. Setinggi kesyukuran kita rafakkan ke hadrat Allah s.w.t. dengan limpah kurniaNya, akhirnya kita telah menjalani kehidupan sebagai pelajar semester ini dan kini sudah sampai ke musim peperiksaan akhir.

Sahabat mahasiswa mahasiswi sekalian,

Musim imtihan ataupun peperiksaan sekali lagi mula menjengah ke jendela kehidupan kita sebagai mahasiswa. Pasti ada yang tersenyum pahit pabila mengenangkan peperiksaan akhir yang makin mendatang, bukan? Tanpa kita sedari, amanah pelajaran sedang menuntut kesedaran dan tanggungjawab kita sebagai penuntut ilmu. Di sinilah medan yang menyaksikan penentuan atau kayu ukur kesungguhan hati kita yang nekad berazam untuk menuntut ilmu sebaik mungkin sebaik sahaja kaki berjaya melangkah ke menara gading ini.

Tiada tips yang paling penting apabila menghadapi fatrah ini melainkan studi bersungguh-sungguh. Namun, selepas berazam, adakah terus diletakkan tawakal dan mengenepikan usaha?

Jawapannya tidak. Tanpa usaha, tawakal jadi sia-sia.

Mari fahami firman Allah s.w.t. ini :
“Kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” Surah Ali Imran, ayat 159.

Setelah berniat untuk mendapatkan sesuatu, maka tawakal sudah bermula ketika itu juga. Fahamkah kita dengan apa itu tawakal? Adakah tawakal ini maksudnya berlepas tangan dan berdoa semata-mata? Sekali lagi tidak, tidak dan tidak. Tawakal itu termasuklah usaha. Usaha adalah tawakal dan senjata yang paling ‘ampuh’ dalam situasi yang mungkin kita boleh panggil genting. Tidak dapat dinafikan, aplikasi konsep tawakal ini menjadi titik mula kejayaan dan kegemilangan dalam bidang ilmu yang kita kuasai.

Harus kita muhasabah diri sekarang tentang kehidupan sebagai pelajar yang menuntut ilmu Allah. Adakah yang pelajaran yang dipelajari itu dianggap beban yang menyakitkan atau satu amanah yang wajib dilaksanakan sebaik-baiknya? Jangan menganggap peperiksaan adalah sebagai beban kerana itu akan menyebabkan kita lebih susah menghadapinya. Jangan terlalu takut dengan peperiksaan, takut-takut kita tidak redha dan sedar akan rahmat dan pertolongan yang Allah bakal turunkan. Lakukanlah yang terbaik dan buat sedaya mungkin serta biarkan Allah menyelesaikan hal-hal selebihnya!

Selamat bermujahadah!


Nor Sutriana Bt Haji Babu
2 SHR
Naib Presiden 2
Persatuan Mahasiswa Islam
Universiti Teknologi Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan