Halaman

Pengikut

Jumaat, 29 Julai 2011

Ramadhan & Taqwa


Fikir-fikir semula, Ramadhan ini tujuannya apa? Allah telah jelas menyatakan di dalam firmanNya:

“Telah dituliskan(diwajibkan) ke atas kamu puasa sebagaimana yang telah dituliskan ke aras orang-orang dari sebelum kamu, moga-moga kamu bertaqwa” Surah Al-Baqarah ayat 183.

Taqwa. Itu tujuan utamanya.

Tetapi satu lagi persoalan timbul. Mengapa sebulan suntuk, tujuannya adalah taqwa? Kenapa bukan perkara lain?

Apakah besarnya taqwa ini di dalam kehidupan insan? Mengapa ia diangkat sedemikian penting?

Jika kita memerhatikan secara teliti, taqwa itu diangkat sedemikian penting adalah kerana taqwalah yang menjamin kelansungan seseorang hamba dalam ketaatannya kepada Allah SWT.
Sebab itu, Ka’ab bin Malik RA apabila ditanya oleh Umar Al-Khattab RA berkenaan taqwa, beliau menyoal Umar kembali:

“Wahai Umar, apakah kau pernah melalui jalan yang penuh dengan duri?”

Umar menjawab: “Pernah”

“Apa yang kau lakukan?”

“Aku sinsing kainku agar tidak tercarik dengan duri, dan aku jaga langkahanku agar tidak terpijak duri.”

“Itulah dia taqwa.”

Dari situ, kita dapat analogikan duri sebagai larangan-larangan Allah dalam kehidupan insan. Maka rasa berhati-hati dari ‘tercarik’ dan ‘terpijak’ itu adalah analogi kepada taqwa. Ia seakan satu defensive system yang mengajak diri bukan sekadar menjauhi, bahkan berhati-hati dengan apa yang dilarang oleh Allah SWT. Bukan sekadar tidak melakukan, bahkan tidak mendekati. Bukan hanya takut ‘terpijak’, bahkan takut juga ‘tercarik’.

Maka jika inilah dapat dicapai oleh manusia, pastinya setahunnya mampu dilalui dengan baik. Benarlah firman Allah SWT apabila menyatakan perihal bekalan.

“Dan berbekal lah kamu. Sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa” Surah Al-Baqarah ayat 197.

Namun, beringatlah., syaitan dan nafsu tak pernah berhenti.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila tiba Ramadhan, maka pintu rahmat akan dibuka, pintu neraka Jahannam akan ditutup, dan syaitan akan ditambat”

Soalnya, bagaimanakah kefahaman kita tentang hal ini?

Umpamakan syaitan itu seperti anjing yang tertambat. Apakah anjing yang ditambat tidak mampu menggigit? Tentu sahaja bagi mereka yang menjauhi anjing tersebut, akan terselamat dari serangan dan gigitan. Namun, bagaimana pula dengan yang mampir kepada anjing berkenaan? Duduk bersebelahan, mengacah-acah anjing yang geram tertambat? Tidak mustahil manusia dungu ini terkena gigitan, malah gigitan itu mungkin lebih serius kerana anjing sedang kemarahan.

Apabila Ramadhan mengikat syaitan dari bebas berkeliaran, ia hanyalah proses mengurangkan potensi syaitan menghasut manusia berbuat jahat. Seperti sebutan Nabi SAW pada sepotong hadith al-Bukhari dan Muslim, “Sesungguhnya syaitan itu bergerak di dalam diri anak Adam melalui saluran darah. Maka sempitkanlah perjalanannya dengan berlapar”.

Ramadhan mengurangkan potensi syaitan.

Akan tetapi bagi yang menghabiskan masa Ramadhannya di tempat syaitan tertambat, di lokasi lagha dan maksiat tempat jin bertandang, maka bagaimana? Ketika syaitan tertambat, manusia pula yang mencari-cari syaitan dan mengisi Ramadhan dengan perkara sia-sia kegemaran Syaitan? Tidakkah mereka ini menyerah peha untuk dibaham dan menjadi mangsa?

Dan ketahuilah bahawa punca kejahatan manusia itu ada luar dan dalamnya. Jika anasir asingnya adalah syaitan, sumber paling merbahaya pula adalah hawa nafsunya sendiri.

“Apakah kamu tidak melihat orang yang bertuhankan hawa nafsunya sendiri?” (Al-Jaatsiyyah : 23)

Maka selepas pintu rahmat dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan diikat, sudah cukup lapangkah jalan kebaikan, dan sudah cukup susahkah jalan kejahatan?

Selepas segala kemudahan diberi untuk manusia berubah kepada kebaikan, sedangkan dirinya masih tetap melakukan kejahatan… siapa lagi yang dapat dipersalahkan melainkan dirinya sendiri?

Kejahatan di bulan Ramadhan adalah kejahatan tulen pilihan manusia. Hampir tiada campur tangan syaitan pada kedurhakaan dirinya. Dia yang memilih untuk jahat lagi keparat.

Sebagaimana puasa menjadi ibadah eksklusif antara hamba dan Allah Tuhannya, maka kejahatan di bulan Ramadhan juga akan dibalas secara eksklusif oleh Dia.

Soalnya, di manakah syaitan ditambat? Soalnya di manakah anda bakal menghabiskan masa di bulan Ramadhan ini? Apakah di tempat jin dan syaitan bertandang? Atau di tempat turunnya rahmat Allah pada zikir dan munajat?

Hati-hati semasa melangkah. Ingatlah lorong dan liku Jalan Taqwa pesanan Ubai kepada Umar.


Mutiara Srikandi ~ Kesihatan : "Wanita Cantik & Anggun"

Mutiara Srikandi ~ Andai Esok Hari Terakhir Kita

Teman Muhasabah HEWI ~ Fiqh Wanita ; Sucikah Kita?