Halaman

Pengikut

Khamis, 13 Januari 2011

Usrah Sahabat HEWI 1


Pagi Jumaat yang ceria. Lantas terngiang-ngiang di telinga, "Hari Jumaat adalah penghulu segala hari" Pasti ada rahsia di sebalik hari Jumaat ni. Apa pun rahsianya, semua adalah kehendak Illahi.

"Mana si Yang ni, dah pukul 12 lebih. Kesian adik-adik yang datang awal". Sue agak rungsing saat itu, menggegau metah. Nampaknya PIC yang sepatutnya berada di BOMI lebih awal masih lagi tidak kunjung tiba lagi.

"Mungkin dia masih ada kelas lagi. Tak apalah, kalau pukul 12.30 si Yang tak datang lagi, suruh je siapa-siapa mula dulu", monolog Sue dalam hati.

Tidak lama kemudian, tepat jam 12.15 tengahari, Alhamdulillah orang yang dinanti sudah kelihatan. Baru saja Sue terdetik di hati untuk sms Yang, begitu kuat perasaan ukhuwah sesama mukmin. Kekeliruan berlaku kerana disangka usrah bermula tepat pukul 12.00pm, tak sangka rupanya Yang telah merancang lebih awal untuk memulakan Usrah pukul 12.30pm.

Bilik Operasi Mahasiswa Islam atau lebih dikenali sebagai BOMI, agak riuh saat itu kerana semua siswi sudah memenuhi tempat dan ada sahaja cerita yang dibualkan. Keadaan menjadi senyap seketika apabila Yang tiba-tiba bersuara.

"Nak duduk dalam bentuk bulatan atau baris-baris?" tanya Yang, berbasa-basi.

"Tengok keadaan. Kalau ramai lagi sahabat yang datang, kita ubah kedudukan dan jika perlu kita pindah tempat pun tak pe. Kita duduk dulu dalam bentuk bulatan ke, macam mana"? Shafiqah memberi pandangan, salah seorang daripada pimpinan HEWI.

"Ok, kalau macam tu semua duduk dalam bulatan dan pastikan selesalah", Yang memberi arahan dan usrah pun bermula Ummul Furqon, Al-Fatihah.

Usrah disertakan dengan rukun-rukunnya, iaitu taaruf (berkenalan), tafahum (kefahaman) dan takaful (tolong menolong). Masing-masing memperkenalkan diri dengan menyertakan nama, bidang pengajian dan kolej kediaman. Masa diambil untuk aktiviti ta'ruf hampir 20 minit dan semakin lama semakin ramai yang baru datang dan menyertai usrah.

"InsyaAllah semua dah ta'ruf. Untuk pertemuan yang pertama ini adalah, kita bakal bincangkan sesuatu tentang "Percaya untuk Berjaya". Semua cuba teliti video yang saya nak paparkan ini yang saya sempat tonton semasa sambutan Maal Hijrah iaitu MHI bersama dengan ustaz Hasrizal yang mengolah apa sebenar yang dikatakan sebagai percaya untuk berjaya berpandukan sejarah pada zaman dahulu". Begitu panjang penerangan yang diberikan oleh Yang. Semua mata menumpu ke skrin laptop.

Keadaan kembali bermusim, kejap-kejap ada yang ketawa, tersenyum serius pun ada. Punyalah fokus pada video tersebut, ya mungkin persediaan sebelum aktiviti soal menyoal. Tidak ketinggalan juga ada yang membuat catatan dari setiap butir apa yang diperkatakan oleh Ustaz Hasrizal.

"Percaya untuk Berjaya" mengisahkan tentang betapa pentingnya sikap percaya dalam merealisasikan kejayaan. Ustaz menceritakan sirah Rasulullah, di mana semasa sahabat-sahabat bertungkus-lumus menggali parit yang besar bagi menghadapi bala tentera kafir Quraisy yang akan cuba menembusi Kota Madinah. Rasulullah memberi sedikit kata & motivasi pada para sahabat bahawa suatu hari nanti Kota Konstantinopel yang merupakan kota terkuat pada waktu itu akan ditawan oleh seorang raja yang sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.

Mahu digambarkan di sini walaupun perkara tersebut agak mustahil untuk dicapai oleh akal fikiran, namun dengan kekuasaan dan kehendak Allah maka pasti ia akan terjadi. Seumpama suatu hari nanti Malaysia akan berjaya mengangkat piala dunia dalam arena bola sepak. Jika difikir oleh akal ini sungguh mustahil kerana melihat pemain-pemain malaysia dari dahulu piala Asia pun sukar untuk dicapai bagaimana mungkin piala dunia. Ragu-ragu. Begitulah perasaan para sahabat pada ketika itu, namun mereka percaya bahawa sabda Rasulullah itu adalah benar, dan keimanan mereka sangat tinggi.

Sebelum kejayaan penawanan Kota Konstantinopel, ramai pemimpin Islam yang bertungkus lumus untuk menawan kota tersebut, termasuklah ayahanda Sultan Muhammad Al-Fateh iaitu Sultan Murad 2. Sultan Muhammad Al-Fateh mmembuat analisis tentang kegagalan tentera-tentera sebelumnya dan melalui analisa tersebut, Sultan Muhammad berjaya menawan Konstantinopel dan seterusnya benarlah sabda baginda bahawa Konstantinopel akan ditawan oleh rajanya yang sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.

Seharusnya kita meletakkan dalam diri kita bahawa kita berkebolehan dan Allah menciptakan kita masing-masing ada kelebihan.

Pelbagai pandangan yang diutarakan daripada sahabat-sahabat usrah HEWI, selain pandangan soalan-soalan yang tidak dijangka pun ada, menceriakan lagi suasana usrah.

Pada 10 minit terakhir, Yang membuka ruang pada semua yang hadir untuk menyampaikan pandangan yang terakhir. Mahasiswi juga sebenarnya berkebolehan berhujah dan mengolah sesuatu dengan tepat dan bernas. Syukur Alhamdulillah, semua memberi respon yang baik. Antara beberapa point yang dapat daripada putaran idea pandangan antaranya ;

- hidup kena seimbang, menggunakan akronim JERI dalam kehidupan. Sebagai contohnya, jika badan sahaja sihat tapi emosi tidak stabil maka manusia pada ketika itu tidak mencapai tahap yang sepatutnya dan gagal dalam kehidupan.
- hidup cuma sekali, cubalah dan berusaha sebaik mungkin... gagal sekali tidak bermakna gagal selamanya.
- kesungguhan untuk berubah, bukan secara drastik tetapi biar perlahan-lahan dan istiqamah.
- berusaha mencari persekitaran yang boleh membantu untuk kita berubah menjadi lebih baik kerana berubah itu satu kewajipan dan bukan pilihan.
- konsep semasa berubah D.U.I.T, iaitu doa, usaha, ikhtiar dan tawakkal, di mana keempat-empat ini perlu seiring.
- berani untuk berubah walaupun berubah ke arah kebaikan itu sangat payah dan sakit, ketahuilah jalan menuju ke syurga yang penuh dengan kenikmatan itu bukan jalan yang mudah.

Sue tersenyum puas melihat usrah HEWI kali pertama memenuhi kriteria yang dimahukan. Terima kasih yang tidak terhingga rasanya kepada penyampai dan adik2 siswi yang menyertai.

Yang baik datangnya dari Allah, dan yang buruk itu juga dari Allah namun ianya atas kelemahan diri ini maka oleh yang demikian ana mohon ampun dan maaf.

Norsutriana Bt Hj. Babu
Naib Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UTM