Halaman

Pengikut

Isnin, 6 Disember 2010

Maal Hijrah

Hari Maal Hijrah atau Awal Muharam ini adalah suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan dua peristiwa penting berlaku dalam sejarah Islam. Pertama, memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 masihi. Kedua, ia merupakan hari keagamaan di mana umat Islam mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri.

Bulan Muharam merupakan bulan keberkatan dan rahmat kerana bermula dari bulan ini berlakunya segala kejadian alam ini dan merupakan bulan yang penuh sejarah, di mana banyak peristiwa yang berlaku sebagai menunjukkan kekuasaan dan kasih sayang Allah kepada makhlukNya.

Pada bulan ini juga, Allah mengurniakan mukjizat kepada nabi-nabiNya sebagai penghormatan kepada mereka dan juga limpah kurnianya yang terbesar iaitu ampunan dan keredhaan bagi hambanya. Sebagai tanda kesyukuran kepadanya, maka hamba-hambanya mempersembahkan ibadah mereka (antara mereka dengan Allah) sebagai hadiah kepada Allah. Namun dengan itu, masih belum dapat lagi membalas kurniaan Allah yang sungguh bernilai.

Said bin Jubair dari Ibnu Abbas r.a berkata: Ketika Nabi saw baru berhijrah ke Madinah, mereka mendapati kaum Yahudi berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam). Maka mereka pun bertanya kepada kaum Yahudi tentang puasa mereka itu. Mereka menjawab, "Hari ini Allah memenangkan Musa dan Bani Israel terhadap Firaun dan kaumnya, maka kami berpuasa sebagai mengagungkan hari ini. Maka sabda Nabi saw : "Kami lebih layak mengikuti jejak langkah Musa dari kamu."

Maka Nabi saw pun menyuruh para sahabat agar berpuasa. Antara lain kelebihan 10 Muharam ialah barangsiapa yang melapangkan rezeki pada keluarganya, maka Allah akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun ini. Terdapat juga sebuah hadis meriwayatkan, "Barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura, maka dapat menebus dosa satu tahun." Maksud hadis ini ialah hari yang kesepuluh Muharam (Asyura) merupakan hari kemuliaan kerana pada sesiapa yang berpuasa pada hari inilah, Allah membersihkan dan menebus dosa-dosa mereka yang lampau.

Bulan Muharam merupakan satu-satunya bulan yang teristimewa kerana banyak peristiwa yang bersejarah berlaku pada bulan ini disamping ganjaran pahala yang besar kepada sesiapa yang beribadah pada bulan ini. Banyak peristiwa bersejarah yang berlaku pada 10 Muharam, antaranya penghormatan yang Allah kurniakan untuk para nabi ialah :

1. Setelah beratus-ratus tahun meminta ampun dan taubat pada Allah, maka pada hari yang bersejarah 10 Muharam inilah Allah telah menerima taubat Nabi Adam a.s. Ini adalah satu penghormatan kepada Nabi Adam a.s.

2. Pada 10 Muharam, tarikh berlabuhnya perahu Nabi Nuh a.s kerana banjir yang melanda seluruh alam di mana hanya ada 40 keluarga termasuk manusia binatang sahaja yang terselamat dari banjir tersebut. Kita merupakan cucu-cicit antara 40 keluarga tadi. Ini merupakan penghormatan kepada Nabi Nuh a.s kerana 40 keluarga ini sahaja yang terselamat & dipilih oleh Allah. Selain dari itu, mereka adalah orang-orang yang engkar pada Nabi Nuh a.s.


3. Nabi Ibrahim a.s dilahirkan pada 10 Muharam dan diangkat sebagai Khalilullah (kekasih Allah) dan juga hari di mana baginda diselamatkan dari api yang dinyalakan oleh Namrud. Nabi Ibrahim diberi penghormatan dengan Allah memerintahkan kepada api supaya menjadi sejuk dan tidak membakar Nabi Ibrahim. Maka terselamatlah Nabi Ibrahim dari angkara kekejaman Namrud.


4. Pada 10 Muharam ini juga Allah menerima taubat Nabi Daud kerana Nabi Daud merampas isteri orang walaupun bagainda sendiri sudah ada 99 orang isteri, masih lagi ingin isteri orang. Oleh kerana Nabi Daud telah membuatkan si suami rasa kecil hati, maka Allah turunkan 2 malaikat menyamar sebagai manusia untuk menegur dan menyindir atas perbuatan Nabi Daud itu. Maka sedarlah Nabi Daud atas perbuatannya dan memohon ampun pada Allah. Sebagai penghormatan kepada Nabi Daud a.s maka Allah mengampunkan baginda pada 10 Muharam.


5. Pada 10 Muharam ini, Allah mengangkat Nabi Isa ke langit, di mana Allah telah menukarkan Nabi Isa dengan Yahuza. Ini merupakan 1 penghormatan ke pada Nabi Isa daripada kekejaman kaum Bani Israil


6. Allah juga telah menyelamatkan Nabi Musa pada 10 Muharam daripada kekejaman Firaun dengan mengurniakan mukjizat iaitu tongkat yg dapat men jadi ular besar yang memakan semua ular-ular ahli sihir dan menjadikan laut terbelah untuk dilalui oleh tentera Nabi Musa dan terkambus semula apa bila dilalui oleh Firaun dan tenteranya.Maka tenggelamlah mereka di Laut Merah. Mukjizat yang dikurniakan Allah kepada Nabi Musa ini merupakan satu penghormatan kepada Nabi Musa a.s.

7. Allah juga telah menenggelamkan Firaun, Haman dan Qarun serta kesemua harta-harta Qarun dalam bumi kerana kezaliman mereka.10 Muharam,merupakan berakhirnya kekejaman Firaun buat masa itu. Terselamatlah tentera Nabi Musa dari musuh dgn mukjizat yang Allah berikan,maka mereka berpuasa kerana kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah swt.

8. Allah telah mengeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan setelah berada selama 40 hari di dalamnya. Allah telah memberikan hukuman secara tidak langsung kepada Nabi Yunus dengan cara ikan Nun menelannya. Pada 10 Muharam,Allah mengurniakan penghormatan kepada baginda dengan mengampun dan mengeluarkannya dari perut ikan Nun.


9. Allah juga telah mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman a.s pada 10 Muharam sebagai penghormatan kepada baginda.


Dengan itu, mereka berpuasa dan beribadah kepada Allah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah swt. Nabi saw telah bersabda dengan maksudnya: "Saya dahulu telah menyuruh kamu berpuasa sebagai perintah wajib puasa Asyura, tetapi kini terserahlah kepada sesiapa yang suka berpuasa, maka dibolehkan berpuasa dan sesiapa yang tidak suka boleh meninggalkannya" .
.
Begitulah sabda Rasulullah di mana puasa pada hari Asyura ini sangat dituntut. Kalau tidak memberatkan umat baginda, maka diwajibkan. Oleh kerana takut memberatkan umatnya, maka hukumnya sunat.

Ahad, 5 Disember 2010

Wanita : Norma Vs Agama


Seindah perhiasan dunia ialah wanita yang solehah. Benar, tidak diragui sama sekali. Namun, jika kita menyingkap kembali lembaran wanita Islam hari ini, banyak yang perlu kita perbaiki.

Bukanlah penulis mahu menghina mana-mana wanita, tetapi dari kaca mata penulis, wanita hari ini melihat bahawa perbezaan usia membolehkan seseorang menghalalkan sesuatu pergaulan.

Antara contohnya, seorang pelajar wanita bertemu dengan seorang pensyarah lelaki secara bersendirian di bilik pensyarah tersebut. Jika hal ini ditegur, alasan bahawa niat cuma ingin belajar itu akan kita terima kembali. Malah ada yang mengatakan hal tersebut tidak mengapa kerana pensyarah tersebut telah lewat usia. Di sinilah silapnya muslimah kita. Di sinilah sang mawar menumpulkan duri yang bertunas pada dirinya.

Daripada Jabir bin Samurah, Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah salah seorang daripada kalian berdua-duan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya." (Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi dengan sanad yang sahih)

Tidaklah punya pengecualian meski lelaki yang ditemui dalam keadan berdua-duan itu seorang pensyarah atau guru, bahkan ketika bertemu seorang imam sekalipun perlulah ditemani mahramnya. Hal ini bertujuan mengelak fitnah yang dapat menjatuhkan martabat seorang wanita Islam malahan mampu menjatuhkan Islam itu sendiri.

Dalam memburu gemilangnya sebuah kehidupan, wanita dan juga seluruh umat Islam perlu meletakkan agama sebagai perkara yang paling utama. Sememangnya kita semua telah sedia maklum bahawa niat tidak pernah menghalalkan cara.

Tambahan pula, dalam keadaan berdua-duaan, wanita tidak mustahil akan menghadapi gangguan seksual. Oleh itu, wahai wanita, sebaik-baiknya carilah teman ketika kalian ingin bertemu dengan seseorang di tempat-tempat yang terbatas daripada pandangan awam.

Kepada para wanita, carilah Islam dalam diri kalian. Sesungguhnya Islam telah memberikan panduan kepada kita. Carilah panduan itu, dan sematkan dalam jiwa kalian.

Islam will dominate this world when we start to dominate Islam in our soul.

- Artikel iluvislam.com

Jumaat, 12 November 2010

ALL ABOUT EVE untuk kita-kita jer..


Setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpahan nikmat Iman dan Islam, akhirnya HEWIPMI berjaya melaksanakan program All About Eve. Terima kasih diucapkan kepada AJK pelaksana yang bertungkus lumus menjayakan program dan sahabat-sahabat HEWIPMI yang banyak membantu AJK semasa program berlangsung. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada tetamu-tetamu dari sahabat PMI kerana hadir memeriahkan majlis dan tidak ketinggalan pimpinan muslimat sesi 2009/2010 yang banyak memberi sokongan untuk melaksanakan program ini. Syukran jazilan kepada semua yang terlibat, sesungguhnya hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa kalian semua.

Dengan kehadiran 60 orang siswi, malam All About Eve berjalan lancar dan begitu meriah sekali.

Antara pengisian yang dijalankan pada malam tersebut, penyampaian bacaan ayat-ayat suci Al Quran oleh saudari Nur Syahidah Khamis dan diiringi bacaan tafsir oleh saudari Nurani bt Kamarudin. Bacaan surah An-Nur ayat 21 hingga 31 itu sangat menyentuh dan mengharukan yang mana banyak menyentuh soal wanita, antaranya tentang aurat serta janji Allah SWT,yang mafhumnya berbunyi; "..wanita yang baik untuk lelaki yang baik.. manakala perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat.."

Pengerusi Majlis sempat menghuraikan ayat dengan memberi sedikit pesanan ; "nak yang baik, kena perbaiki diri dulu supaya jadi yang terbaik". Pengerusi Majlis kemudiannya menjemput Pengerusi Jabatan HEWI sesi 2010/2011 saudari Norsutriana Binti Hj Babu merangkap Naib Presiden 2 PMIUTM, Skudai bagi menyampaikan ucapan alu-aluan.

Antara amanat yang telah beliau sampaikan, "Dalam kesibukan kita sebagai mahasiswi, ditambah pula musim study week dan peperiksaan, namun sahabat-sahabat masih lagi mampu untuk memberi komitmen untuk program sesi pertama kami. Semoga program yang bermanfaat ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan. Study, study juga tapi berhibur untuk tenangkan fikiran juga penting. Berhibur biarlah yang boleh mendekatkan dan mengingatkan diri kita kepada Allah SWT. Apa yang penting Doa, Usaha dan Tawakkal selepas berusaha. InsyaAllah, kita akan memperoleh keberkatan dan kejayaan yang sebenar. Jangan lupa dengan amalan-amalan khusus. Menuntut ilmu juga ibadah tapi jangan sampai meninggalkan tuntutan wajib solat lima waktu."

Seterusnya, program disambung dengan tayangan montaj untuk memperkenalkan kepimpinan muslimat PMIUTM sesi 2010/2011. Kepimpinan muslimat PMIUTM sesi 2010/2011 seperti berikut ;

Naib Presiden II : Nor Sutriana bt Haji Babu
Setiausaha Agung : Nur Sabrina bt Risman
Bendahari Agung : Nor Laila Suria bt Ahmad Sukadi

Timbalan Pengerusi Lujnah

Pendidikan & Akademik : Norazlinda bt Amin
Penerangan & Multimedia : Saidatul Akmal bt Sulong
Penyelidikan & Pembangunan : Nur Diana bt Khalid
Kebajikan : Nor Shafadila bt Ngadiman
Sukan & Kebudayaan : Sharifah Aisyah bt Syed Sohor
Ekonomi : Syahirah bt Muzi

Ucapan daripada TP LK, amanat beliau ; "jika anda (siswi) menghadapi masalah kewangan, akedemik dll kecuali "masalah hati" InsyaAllah kami akan memberi bantuan. Boleh berhubung terus ke no 0132222108. Montaj pimpinan sesi 2010/2011 disediakan oleh sahabat LPM, Aqila Sabri.

Persembahan nasyid oleh kumpulan HEWI "Hurul Ain", antara lagu yang dipersembahkan Ainul Mardhiah, Antara Dua Kasih dan Sebiru Hari Ini serta ditambah permintaan daripada sahabat HEWI lagu "Saat Lafaz Sakinah". Persembahan nasyid ini diselang-selikan dengan cabutan bertuah dan deklamasi sajak oleh saudari Atikah Shaari dengan sajaknya yang bertajuk "Sakinah" serta tayangan filem pendek yang dihasilkan sendiri pimpinan muslimat PMI yang lepas yang memaparkan banyak pengajaran. Peserta kelihatan sungguh terhibur (^_^).

Tibalah saat yang menyedihkan, sangat sayu dengan diiringi muzik "saat lafaz sakinah" penyampaian cenderahati buat mantan pimpinan HEWI 2008/2009 saudari Intan farhana (bendahari), dan Siti Humairah (setiausaha) sem ini merupakan sem terakhir mereka. Kita doakan kejayaan mereka berdua dan doakan semoga mereka dapat meneruskan perjuangan setelah keluar daripada UTM. Moga mereka berjaya dalam apa jua bidang yang mereka ceburi akan datang.

Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh saudari Hamiza Zainal dan jamuan ringan.

DONE. fasa 1 ALL ABOUT EVE.

Sabtu, 6 November 2010

ALL ABOUT EVE ^___^


Alhamdulillah, setinggi ksyukuran kpd Allah s.w.t., program ALL ABOUT EVE m'capai objektifnya meraikan sahabat2 Hewi & pimpinan2. Walaupun bersifat santai, namun elemen ukhuwah & penekanan memobilisasi mahasiswi terus dipadu!

>> Tahniah buat tenaga penggerak & jutaan terima kasih kpd sahabat2 hewi srta mahasiswi lain krn turut memeriahkan majlis. ketahuilah, anda semua t'baik!

ALL ABOUT EVE ~ utk kiter2 je. :)

Khamis, 4 November 2010

Selamat Bermujahadah!


Assalamualaikum wbt.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W serta ahli keluarga, sahabat-sahabat serta semua pengikut baginda yang mendaulatkan syariat Islam. Salam takzim dan kerahmatan nikmat Islam dan iman buat sahabat-sahabat. Setinggi kesyukuran kita rafakkan ke hadrat Allah s.w.t. dengan limpah kurniaNya, akhirnya kita telah menjalani kehidupan sebagai pelajar semester ini dan kini sudah sampai ke musim peperiksaan akhir.

Sahabat mahasiswa mahasiswi sekalian,

Musim imtihan ataupun peperiksaan sekali lagi mula menjengah ke jendela kehidupan kita sebagai mahasiswa. Pasti ada yang tersenyum pahit pabila mengenangkan peperiksaan akhir yang makin mendatang, bukan? Tanpa kita sedari, amanah pelajaran sedang menuntut kesedaran dan tanggungjawab kita sebagai penuntut ilmu. Di sinilah medan yang menyaksikan penentuan atau kayu ukur kesungguhan hati kita yang nekad berazam untuk menuntut ilmu sebaik mungkin sebaik sahaja kaki berjaya melangkah ke menara gading ini.

Tiada tips yang paling penting apabila menghadapi fatrah ini melainkan studi bersungguh-sungguh. Namun, selepas berazam, adakah terus diletakkan tawakal dan mengenepikan usaha?

Jawapannya tidak. Tanpa usaha, tawakal jadi sia-sia.

Mari fahami firman Allah s.w.t. ini :
“Kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” Surah Ali Imran, ayat 159.

Setelah berniat untuk mendapatkan sesuatu, maka tawakal sudah bermula ketika itu juga. Fahamkah kita dengan apa itu tawakal? Adakah tawakal ini maksudnya berlepas tangan dan berdoa semata-mata? Sekali lagi tidak, tidak dan tidak. Tawakal itu termasuklah usaha. Usaha adalah tawakal dan senjata yang paling ‘ampuh’ dalam situasi yang mungkin kita boleh panggil genting. Tidak dapat dinafikan, aplikasi konsep tawakal ini menjadi titik mula kejayaan dan kegemilangan dalam bidang ilmu yang kita kuasai.

Harus kita muhasabah diri sekarang tentang kehidupan sebagai pelajar yang menuntut ilmu Allah. Adakah yang pelajaran yang dipelajari itu dianggap beban yang menyakitkan atau satu amanah yang wajib dilaksanakan sebaik-baiknya? Jangan menganggap peperiksaan adalah sebagai beban kerana itu akan menyebabkan kita lebih susah menghadapinya. Jangan terlalu takut dengan peperiksaan, takut-takut kita tidak redha dan sedar akan rahmat dan pertolongan yang Allah bakal turunkan. Lakukanlah yang terbaik dan buat sedaya mungkin serta biarkan Allah menyelesaikan hal-hal selebihnya!

Selamat bermujahadah!


Nor Sutriana Bt Haji Babu
2 SHR
Naib Presiden 2
Persatuan Mahasiswa Islam
Universiti Teknologi Malaysia

Sabtu, 23 Oktober 2010

Festival Busana Muslimah ; Memartabat Atau Menghina?

Islam merupakan agama yang bermaruah tinggi dan dihormati di pelusuk dunia. Setiap syariat yang telah digariskan di dalam Al-Quran dan hadith telah jelas membawa kesejahteraan dan kebaikan kepada penganutnya. Islam juga semakin diterima oleh penduduk barat yang bukan beragama Islam. Contohnya ketika serangan tentera Israel terhadap kapal Mavi Marmara yang membawa misi bantuan untuk penduduk Gaza yang telah mengorbankan seramai sembilan orang rakyat Jordan yang lalu. Peristiwa ini telah menimbulkan kemarahan penduduk dunia. Penduduk Amerika dan bangsa-bangsa eropah yang lain turut melakukan bantahan dan berdemonstrasi bagi menunjukkan bantahan mereka terhadap penindasan orang islam meskipun berlainan agama.

Namun, apa yang berlaku pada 9 ogos yang lalu amat memalukan. Penganjuran Festival Busana Muslim atau Islamic Fashion festival (IFF) yang telah diadakan di Monte Carlo, Las Vegas jelas bersifat mempermainkan kesucian Islam itu sendiri.

Aurat

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau Saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak- budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”(An-Nur:31)

“Asma Binti Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja
-Hadis riwayat Bukhari & Muslim

“ Hai nabi, Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, Karena itu mereka tidak di ganggu. dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Ahzab: 59)

Menghina Islam

Terdapat seorang model yang memakai pakaian berlambangkan tulisan khat bahasa arab ‘Muhammad’ terbalik. Hal Ini menjadi semakin serius. Ayuh kita imbas kembali sekitar tahun 2005 dunia digemparkan dengan isu sebuah akhbar di Denmark yang menyiarkan karikatur Nabi Muhammad saw termasuk karikatur yang menunjukkan baginda memakai serban berbentuk bom. Akibatnya Denmark mendapat kecaman seluruh dunia. Termasuklah respons yang ditunjukkan di Negara kita, demonstrasi-demonstrasi tanda bantahan oleh pelbagai badan kerajaan dan bukan kerajaan, parti-parti politik dan juga mahasiswa kampus. Ini termasuklah pemboikotan barang-barang perniagaannya yang telah mengakibatkan mereka kerugian puluhan juta dolar. Walaupun pada mulanya Perdana menteri Denmark ketika itu tidak mahu meminta maaf kerana beralasan menegakkan kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar namun setelah diasak dari pelbagai pihak, akhirnya pada tahun 2006, kerajaan Denmark meminta maaf kerana penyiaran tersebut telah menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.



Bagaimana pula dengan Malaysia sebuah Negara Islam yang terlibat secara langsung dalam festival ini? Jika selama ini Malaysia menjadi antara Negara yang terkehadapan dalam membicarakan isu penghinaan terhadap Islam, tapi kini pemimpin Negara kita telah terlibat dengan menjadi salah seorang peneraju kepada festival yang jelas menghina Islam dan menghina Rasulullah saw khususnya . Di manakah suara-suara ilmuan agama yang berada di barisan kepimpinan kerajaan yang lantang berforum di pentas? Jika hal ini tidak mendapat tindakan sewajarnya, maka sia-sialah sambutan Maulidur Rasul dan perarakan membawa sepanduk yang kita selalu adakan yang kononya membuktikan cinta kita kepada Nabi Muhammad saw. Semuanya tipu belaka.

Misi yang jelas

Kita mungkin tertanya-tanya apakah sebenarnya misi Festival Busana Muslim ini diadakan? (lebih lanjut sila ke www.islamicfashionfestival.com.my ) Apakah perbezaan antara festival ini dengan festival pakaian yang lain? Adakah untuk memartabatkan atau memberi pendedahan kepada umat Islam seluruh dunia mengenai garis panduan pemakaian seorang wanita? atau ingin membuktikan kesenian Islam dalam pemakaian? ataupun ingin membuktikan islam tidak jumud dalam berfesyen? Walau apa pun jua, perlaksanaan festival ini tiada bezanya dengan festival pakaian yang biasa. Perkataan ‘Busana Muslim’ hanyalah sekadar tiket bagi memancing minat orang Islam yang tidak hadam akan maksud Islam yang sebenar. Ataupun sebagai topeng untuk menghalalkan festival pakaian di mata golongan cetek agama.

Peringatan Allah

Umat Islam harusnya sedar dan membuka fikiran seluasnya di atas kemungkaran yang telah berleluasa di dunia ini. Allah Ta’ala telah memberi peringatan-perinagatan kecil kepada hambaNya dengan menurunkan bencana alam dan wabak penyakit yang sering datang dan pergi . Namun ia masih tidak mampu memberi kesedaran kepada umat manusia. Mahukah kita ditimpa Tsunami seperti di Acheh sekali lagi? Mahukah kita dibenamkan dengan gempa bumi atau tanah runtuh seperti di Bukit Antarabangsa suatu ketika dahulu? Mahukah kita mati kesesakan nafas disebabkan oleh penularan virus influenza A H1N1? Atau mahukah kita Malaysia diterbalikkan seperti apa yang kaum Nabi Lut rasai dahulu? Nauzubillah…

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil jadi pemimpinmu, orang-orang yang membuat agamamu jadi buah ejekan dan permainan, (yaitu) di antara orang-orang yang Telah diberi Kitab sebelummu, dan orang-orang yang kafir (orang-orang musyrik). dan bertakwalah kepada Allah jika kamu betul-betul orang-orang yang beriman.” (Al-Maidah: 57)

“Maka tatkala mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, kami selamatkan orang-orang yang melarang dari perbuatan jahat dan kami timpakan kepada orang-orang yang zalim siksaan yang keras, disebabkan mereka selalu berbuat fasik.” (Al-A’raf: 165)

“(keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir'aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang yang sebelumnya. mereka mengingkari ayat-ayat Allah, Maka Allah menyiksa mereka disebabkan dosa-dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi amat keras siksaan-Nya.” (Al-Anfal:52)

“Dan jika kami hendak membinasakan suatu negeri, Maka kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, Maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan kami), Kemudian kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.” (Al-Isra’: 16)

“Tak ada suatu negeripun (yang durhaka penduduknya), melainkan kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. yang demikian itu Telah tertulis di dalam Kitab (Lauh mahfuzh).” (Al-Isra’: 58)

Semoga kita tergolong dikalangan orang mukmin yang diselamatkan Allah dari azabnya. Ini hanyalah pandangan seorang mahasiswa Islam yang semakin takut dengan fitnah dunia. Wallahualam.

Norazlinda Bt Amin
2 SPM

Timb. Pengerusi Lujnah Pendidikan & Kepimpinan
Persatuan Mahasiswa Islam
Universiti Teknologi Malaysia

Ahad, 3 Oktober 2010

Teman Muhasabah Hewi III

Teman Muhasabah Hewi III yang merupakan program terakhir untuk sem ini telah pun berlangsung pada 24 September yang lalu, bertempat di Dewan al Ghazali, Masjid Sultan Ismail. Tajuk yang dibawakan pada kali ini ialah "Payung Emas di Akhirat.. Madu atau Hempedu di Dunia?" yang disampaikan oleh Ustazah Naemah Bt Hamzah, Pegawai Hal Ehwal Islam.

Antara suasana yang sempat dirakamkan oleh lensa kamera ;


Sabtu, 25 September 2010

Tudung Menyerupai Biarawati?

Fesyen tudung kian berkembang dan mengalami proses revolusi tertentu seiring kesedaran ramai pihak tentang kewajipan bertudung bagi wanita Islam. Walaupun demikian, sedikit mengecewakan kerana tudung kini juga dipakai hanya semata-mata fesyen, bukan kerana menuruti syariat. Lebih buruk, bertudung namun seolah-olah tidak bertudung dan sekarang timbul isu menyerupai biarawati ; yang tersebar di internet.

Hadis Nabi :"Barangsiapa yang meniru sesuatu kaum, maka ia termasuk dari kalangan mereka." Riwayat Abu Daud.

Namun, sejauh mana kebenarannya?Pihak HEWI PMIUTM menemui Ustazah Naemah bt Hamzah, Pegawai Hal Ehwal Islam Masjid Sultan Ismail bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut tentang isu ini.


Ustazah Naemah terlebih dahulu memberi penerangan kepada pihak HEWI dengan membawa ayat 31, surah An Nur yang bermaksud ;

"Katakanlah kepada wanita yang beriman ; 'Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka.."

Beliau menjelaskan tudung yang dipakai hendaklah labuh menutupi dada dan tidak singkat, samaada tudung arini atau apa saja. Isu tudung yang menyerupai biarawati ini sebenarnya tidak mengandungi isu aqidah, tapi lebih kepada kecelaruan fesyen bertudung yang sedang menular. Ustazah menerangkan lagi bahawa sebenarnya cara pemakaian tudung tersebut yang harus diambil perhatian.

Tudung arini yang dipakai kini dengan meletakkan kerongsang di belakang leher akan menampakkan leher dan bahagian bawah muka. Lebih teruk, jika si pemakainya menyanggul rambutnya serta meninggikannya sepertimana hadis Rasulullah ini ; hadis riwayat Muslim

Lebih teruk jika mengenakan sanggul palsu yang di pasaran sekarang bagi meninggikan tudung. Mengada-adakan perkara yang tiada.

“Dua golongan penghuni neraka yang mana aku sendiri belum pernah melihat keadaan mereka di dunia: golongan yang membawa cemeti seperti seekor lembu lalu menggunakannya untuk memukul manusia dan juga kaum wanita yang berpakaian seperti bertelanjang, menggoyangkan badan dan berlenggang-lenggok, kepala mereka ada suatu seperti bonggol di kepala unta yang bergoyang-goyang. Mereka tentu tidak akan memasuki syurga atau mencium baunya sedangkan bau syurga itu dapat dihidu dari jarak perjalanan begitu dan begini.”



Khamis, 23 September 2010

TM HEWI III


MAHASISWI DAN STAF WANITA UTM SAHAJA.

TM HEWI kembali lagi!!!

Daripada TM HEWI pada semester lepas yang bertajuk "Aku Terima Nikahnya", kali ni sambungannya bakal berkisar kehidupan selepas berumah tangga dengan tajuk "Payung Emas di Syurga..Madu atau Hempedu di Dunia".

Wanita perlu pencerahan mengenainya.Sejauh mana wanita bersedia menghadapinya sebelum dan selepas berkahwin? Mari memeriahkan majlis ilmu ini beramai-ramai. Semua mahasiswi dan staf wanita UTM dijemput hadir.

Jangan lepaskan peluang untuk menghadiri TM Hewi yang terakhir bagi sem ini!

Isnin, 30 Ogos 2010

Teman Muhasabah HEWI II

Teman Muhasabah Hewi II telah pun berlangsung pada 20 Ogos yang lalu, bertempat di C17 105, Fakulti Sains. Tajuk yang dibawakan pada kali ini ialah "Soal Puasa Tapi Anda Malu Bertanya" yang disampaikan oleh Ustazah Farahwahida Mohd Yusof, pensyarah dan juga Timbalan Dekan Akademik Fakulti Tamadun Islam.
Antara suasana yang sempat dirakamkan oleh lensa kamera ;

Rabu, 18 Ogos 2010

TM HEWI II


Teman Muhasabah HEWI untuk kali kedua akan diadakan pada 20 Ogos ini, Jumaat, di C17 105, dewan kuliah 1, Fakulti Sains membawakan tajuk "Soal Jawab Puasa Tapi Anda Malu Bertanya" oleh Ustazah Farahwahida Mohd Yusof, pensyarah dan Timbalan Dekan Akademik Fakulti Tamadun Islam.

Soal Jawab Puasa Tapi Anda Malu Bertanya ; memberi peluang kepada mahasiswi untuk meleraikan permasalahan dan persoalan yang berlegar dalam kalangan siswi berkenaan dengan ibadah puasa, amalan-amalan di bulan Ramadhan dan permasalahan berkaitan dengannya.

Semua mahasiswi dijemput hadir.. :)

Selasa, 17 Ogos 2010

Kem Jati Diri Siswi [KEJASIS '10]

Pihak Jabatan Hal Ehwal Wanita (HEWI PMIUTM) telah berjaya mengadakan Kem Jati Diri Siswi [KEJASIS '10] khas untuk mahasiswi UTM di Punggai Bayu Resort, Teluk Ramunia, Kota Tinggi pada 13, 14 dan 15 Ogos baru-baru ini. Kem ini telah disertai hampir 50 orang peserta dan diisi dengan pelbagai aktiviti dan pengisian bagi memenuhi objektif program iaitu memantapkan jati diri mahasiswi sekaligus mengasah bakat mahasiswi dalam bidang kepimpinan dan juga sahsiah.

KEJASIS '10 yang diadakan pada bulan Ramadhan ini telah berjaya membina keyakinan diri dan kekuatan jiwa para pesertanya di samping meraikan bulan Ramadhan yang mulia ini.

Banyak pengisian dan aktiviti yang telah dijalankan bagi memenuhi tuntutan objektif antaranya ceramah yang disampaikan oleh Ust Fariiqul Amin yang bertajuk "Keintelektualan Wanita" yang menyingkap kepentingan ilmu kepada wanita dalam meniti arus kehidupan masa kini yang memerlukan kepakaran dan kebijaksanaan wanita dalam pelbagai bidang.

Selain itu, ceramah dari Ustazah Thurayya yang mengisi slot ceramah pada hari Ahad yang bertajuk "Peribadi Diri Remaja" yang banyak menyentuh tentang peribadi sepatutnya sebagai seorang muslim dan sekaligus sebagai agen perubahan kebaikan kepada masyarakat.

Di samping juga, tidak ketinggalan akitiviti pengisian dan pemantapan rohani seperti solat terawih berjemaah, tadarus Al Quran, qiamullail dan sebagainya.

Antara gambar yang sempat dirakamkan semasa aktiviti dijalankan ;


Pihak HEWI PMIUTM mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli jawatan kuasa yang melaksanakan dan menjayakan KEJASIS '10 dan juga peserta program yang menyertai KEJASIS '10. Terima kasih.

Selasa, 10 Ogos 2010

KEJASIS'10

Bismillahirrahmanirrahim..

Ahad, 8 Ogos 2010

Perutusan ; Ramadhan Yang Dinanti

Orang yang beriman kepada janji-janji Allah dan Rasulnya pasti bergembira menyambut kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak pada setiap tahun.

Begitu juga dengan tahun ini di mana kita sekali lagi diberi kesempatan oleh Allah S.W.T. menyambut dan meraikan ketibaan bulan Ramadhan yang penuh rahmat dan pahala, dengan kegembiraan serta iman taqwa yang teguh. Hanya mereka yang lemah iman sahaja yang merasa cemas dan risau dengan kunjungan Ramadhan. Begitu juga dengan mereka yang tidak mengenali fadhilat atau keberkatannya.

Tetapi bagi orang yang dapat memahami fadhilatnya akan menunggu dengan jiwa kesyukuran seperti yang dijelaskan oleh baginda Rasullullah S.A.W melalui hadisnya yang bererti, "Sekiranya umatku mengetahui kemulian dalam bulan Ramadhan, nescaya mereka akan mengharapkan kedatangan Ramadhan itu di sepanjang tahun".

Keistimewaan Ramadhan akan lebih ketara lagi jika ia dibandingkan dengan sebelas bulan yang lain. Walaupun semua bulan mempunyai kelebihan, namun kelebihan Ramadhan tetap tidak dapat ditandingi. Hal ini ditegaskan oleh nabi kita Muhammad S.A.W dengan sabdanya yang bererti, "Bulan Ramadhan adalah penghulu kepada bulan-bulan yang lain".

Terdapat banyak hadis yang menerangkan keagungan Ramadhan Al-Mubarak, di antaranya sabda Rasullullah S.A.W, Ertinya "Apabila menjelang bulan Ramadhan, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutupkan pintu neraka dan dibelenggu segala iblis dan syaitan".

Hadis di atas ini memberi pengertian bahawa bulan Ramadhan adalah bulan keemasan untuk umat Islam meningkatkan amal ibadah serta memantapkan iman dan membersihkan diri dari kerja-kerja maksiat yang didorong oleh hawa nafsu atau godaan syaitan. Di dalam bulan yang suci inilah sepatutnya mereka melakukan hisab atau muhasabah diri di atas kerja-kerja yang telah dilalui dan akan dihadapi sama ada yang bermanfaat atau sebaliknya.

Para ulama menjelaskan, Ramadhan adalah bulan yang menjanjikan sebaik-baik balasan kepada mereka yang berbuat amal soleh sama ada di awal, pertengahan ataupun di akhirnya. Sebaliknya mereka yang malas dan yang terus melakukan perbuatan-perbuatan maksiat dan dosa, atau memandang bulan Ramadhan itu sama seperti bulan-bulan yang lain, bukan sahaja mereka tidak dapat pahala yang dijanjikan malahan akan menerima azab akibat dari kejahatan yang boleh menjatuhkan kesucian Ramadhan dan keluhuran akhlak umat Islam seluruhnya.

Ramadhan adalah semulia-mulia bulan, berbagai-bagai kejadian atau peristiwa berlaku di dalamnya, yang menjadikan tarafnya lebih agong dan lebih berkat, di antaranya :

Pertama, perintah Allah S.W.T. ke atas kaum muslimin untuk mengerjakan puasa, firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 183 yang bermaksud : "Wahai mereka yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa seperti yang diwajibkan ke atas mereka yang sebelum dari kamu, mudah-mudahan dengan berpuasa itu kamu akan terpelihara dan bertaqwa". Tidak syak lagi, perintah mengerjakan puasa yang menjadi rukun Islam ketiga dalam bulan yang mulia ini menjadikan ia lebih agong dari yang lain.

Kedua, mula turunnya kitab suci Al-Quran dari ayat pertama hingga kelima dari surah Al-¥Alak iaitu tanggal 17 haribulan. Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud : "Di dalam bulan Ramadhan ini diturunkan di dalamnya kitab Al-Quran yang menjadi hadiah kepada umat manusia dan membezakan antara yang hak dan bathil".

Ketiga, dalam bulan Ramadhan ini juga umat Islam diwajibkan membayar zakat fitrah atau zakat badan serta zakat harta benda ke atas mereka yang mencukupi syaratnya. Kefardhuan zakat fitrah di bulan Ramadhan ini menggambarkan betapa eratnya hubungan puasa dengan zakat. Kedua-duanya wajib dikerjakan dengan sempurna. Maka tidak sempurna agama seseorang itu jika hanya melakukan salah satu daripadanya. Hal ini dijelaskan oleh baginda Rasullullah S.A.W melalui hadisnya, yang bermaksud, "Pahala puasa Ramadhan tergantung-gantung di antara langit dengan bumi, ia tidak terangkat ke langit kecuali dengan zakat fitrah".

Keempat, di sepanjang bulan Ramadhan yang penuh rahmat ini, Allah menghadiahkan kepada umat Islam satu malam yang pahala atau keberkatannya seribu bulan, yang dinamakan Lailatulqadar. Kerana itu, maka menjadi kewajipan ke atas setiap muslim dan muslimat berusaha untuk mendapatkan keagongannya. Iaitu memperbanyakkan zikrullah, bertakbir, bertahlil, bertahmid, bertasbih, berdoa dan lain-lain ibadah yang dituntut dalam Al-Quran dan sunnah Rasul.

Nabi Muhammad S.A.W menggalakkan umatnya beribadah pada malam tersebut dengan menghampirkan diri kepada Allah Subhanahua taala melalui majlis Qiamullail, beristighfar dan bertadarrus Al-Quran di sepanjang malam pengampunan dosa ini. Janganlah ada orang Islam yang memandang kelebihan malam LailatulQadar sama seperti malam-malam yang lain.

Dipandang dari sudut mana sekalipun, ibadat puasa perlu dilakukan oleh manusia. Agama Islam yang mengutamakan kesejahteraan umatnya dari segi rohani dan jasmani, tidak menyuruh mereka melakukan ibadat agong ini sekiranya ia tidak mendatangkan manfaat kepada mereka.

Maka di antara sebab ibadah ini diwajibkan ialah : Pertama, meningkatkan taqwa dan iman manusia dengan melaksanakan suruhan Al-Khaliq secara ikhlas sebagai melahirkan kesyukuran terhadapnya ; Kedua, melahirkan sifat mulia dan jiwa murni dan bersimpati terhadap penderitaan yang dihadapi oleh fakir miskin dan yang menderita ; Ketiga, menguji kesabaran dalam menghadapi kelazatan makan dan minum, keinginan nafsu jantina atau godaan yang ditegah oleh syarak ; Keempat, melatih diri untuk terus berjihad bagi meninggikan syiar Islam disamping menjaga maruah dan keselamatan diri serta membersihkan jiwa dari sifat-sifat tamak, gelojoh dan sifat-sifat mazmumah yang lain.

Bagi memastikan perlaksanaan rukun Islam ketiga ini diterima Allah serta mendapat keredhaannya, ia hendaklah dilakukan mengikut syarat-syarat atau rukun dengan sempurna, berniat ikhlas, berdisplin dan tidak melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh membatalkan puasa dan menghilangkan pahalanya. Ini disebabkan tujuan berpuasa bukanlah menahan diri dari makan dan minum sahaja tetapi menahan semua anggota dari melakukan kerja-kerja yang tidak berakhlak atau yang dilarang oleh agama.

Dalam hal ini kita harus gerun dengan hadis Rasullullah S.A.W yang bererti "Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa balasan dari puasa melainkan lapar dan dahaga".

Mengambil sempena keagungan Ramadhan, marilah kita meletakkan azam untuk menaikkan maruah dan sahsiah dengan menambah iman taqwa kepada Allah, sekurang-kurangnya dengan berpuasa pada siang hari dan bersalawat tarawih pada malam harinya. Orang yang menghormati tuntutan Ramadhan bererti memuliakan dirinya dan mencemari Ramadhan bererti ia menjatuhkan harga dirinya sendiri. ~

Sabtu, 31 Julai 2010

Teman Muhasabah HEWI

Teman Muhasabah HEWI adalah salah satu program berkala Hewi yang diadakan setiap tengahari hari Jumaat bagi memberi pengisian kepada mahasiswi UTM. Program ini secara tidak langsung menjadi titik pertemuan di antara mahasiswi seminggu sekali sekaligus merapatkan dan menguatkan ukhuwah. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mempermudahkan keberlangsungan TMHEWI kali pertama untuk sem ini.

Objektif program ini dilaksanakan untuk m
emenuhi keperluan mahasiswi dalam mendepani cabaran global di samping melengkapkan mahasiswi dengan kefahaman dan kesedaran jelas tentang Islam dan peranan wanita dalam menjana pembangunan Islam, menjadikan wanita tidak ketinggalan dalam budaya penghayatan ilmu serta arus hal ehwal semasa.
Tajuk yang dipilih pada TMHEWI I adalah I LUV MY HIJAB yan
g telah disampaikan oleh Ustazah Naemah telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para siswi dan juga staf. Isu yang dibincangkan pada kali ini begitu menarik perhatian para peserta seramai 100 orang yang telah menghadiri program.

Antara suasana program yang sempat dirakamkan :


Program TMHEWI diserikan lagi dengan persembahan nasyid dari kumpulan 'Hurul Ain' di hujung program.

Diharapkan program Teman Muhasabah HEWI ini akan berjalan dengan lebih lancar pada kali yang akan datang. Tunggu kemunculan TMHEWI kali kedua di bulan Ramadhan nanti!

Selasa, 27 Julai 2010

TM HEWI Kembali!


Teman Muhasabah HEWI kembali! Kali pertama untuk sem kali ini, membawakan tajuk 'I LUV MY HIJAB' yang bakal disampaikan oleh Ustazah Naemah, Pegawai Hal Ehwal Islam, Masjid Sultan Ismail.

Hijab mempunyai makna yang lebih mendalam. Ta'rif hijab tidak terhad kepada luaran iaitu cara pemakaian atau fesyen apa yang sedang digayakan. Hijab juga membawa erti hijab pada aspek keseluruhan muslimah, baik dari terjaganya syariat, maruah dan akhlakk sekaligus.

Sejauh manakah kita menyayangi hijab sebagai pelindung diri muslimah? Namun, yang lebih penting, sejauh manakah syariat menutup aurat yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. ini kita praktikkan dalam kehidupan? Percaya atau pun tidak, yang tertutup lebih bernilai dan signifikan imejnya berbanding yang terdedah.

Ayuh, mahasiswi sekalian... meriahkan majlis ilmu! Ketahuilah hakikat muslimah berhijab!

Selasa, 20 Julai 2010

JOM BOWLING SISWI UTM..


SKUDAI- 18 Julai 2010(Ahad). Lujnah Sukan dan Kebudayaan (LSK) Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI PMIUTM) telah berjaya menganjurkan satu program berbentuk riadah iaitu kejohanan bowling bersama mahasiswi baru yang mendaftar di UTM pada sesi 2010/2011. Seramai 30 orang mahasiswi UTM telah menyertai kejohanan yang bertemakan “Ukhuwwah dibina, Keserasian Tercipta” ini. Kejohanan tersebut yang telah dijayakan di Skudai Bowl, Skudai Parade, Johor.


Peserta berkumpul di perhentian bas FAB dan bertolak ke tempat kejadian pada jam 10 pagi dengan menaiki bas. Setelah tiba di sana, peserta dibahagikan kepada sepuluh kumpulan di mana satu kumpulan terdiri daripada tiga orang.


Turut serta saudari Saidatun Nor binti Awang @ Dahlan, Naib Presiden 2 PMIUTM merangkap Pengerusi HEWI PMIUTM. Kejohanan dimulakan dengan ucapan alu-aluan ringkas dari saudari Saidatun Nor. “Ini merupakan program permulaan untuk mahasiswi baru dan InsyaAllah terdapat lebih banyak program yang akan menyusul khas untuk siswi di UTM”, katanya di dalam ucapan ringkas tersebut.


Setelah selesai ucapan saudari Pengerusi HEWI, para peserta mengambil tempat masing-masing dan memulakan permainan. Kejohanan ini berakhir pada pukul 12 tengahari dan penyampaian hadiah disempurnakan. Antara hadiah yang dianugerahkan kepada peserta ialah Ratu Bowling yang disandang oleh Saudari Intan Farhana binti Idris dengan 188 jatuhan pin. Juga terdapat anugerah lain seperti Ratu Bola Longkang dan juga Ratu Bola Lepas ke Belakang.


Setelah itu, para peserta berjalan-jalan di sekitar Skudai Parade sambil membeli-belah. Sekitar pukul 1 tengahari, peserta bertolak pulang ke UTM. Turut memberi sokongan serta menyertai kejohanan ini ialah wakil daripada Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) UTM, Saudari Nur Syazana binti Azahar dan juga Saudari Siti ‘Amirah binti Basirun.


Laporan oleh: Nurul Syaiima Othman, Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) PMIUTM.

Isnin, 19 Julai 2010

Muslimah & Gambar ; Aurat @ Menundukkan Pandangan

Terkadang bila melayari weblog-weblog rakan, menjelajah ke dalam dunia maya bagi manusia yang memayakan diri mereka, saya merasa hairan melihat sesetengah weblog muslimah yang bertudung, yang menutup aurat, tidak segan silu pula untuk memaparkan gambar masing-masing. Tiadalah terlalu salah untuk memaparkan gambar anda, ya muslimah sekalian. Namun, sayangnya anda terlupa bahawa gambar yang anda posting itu adalah gambar sebesar skrin 17 inci! Setiap butir jerawat dan bulu halus di muka anda terpampang rapi!

Muslimah & Gambar : Ada apa dengannya?

Tidaklah tujuan saya mengaibkan kalian. Saya adalah rakan kamu. Sahabat kamu. Yang enggan melihat wajah-wajah anda itu, dipaparkan sewenang-wenangnya kepada orang. Biarpun wajah bukan aurat mengikut sesetengah mazhab, namun tatkala fitnah mengundang, tidakkah ia melayakkan ianya ditutup dari pandangan umum?

Muslimahku,
Dunia internet semakin berkembang maju. Satu hari, satu weblog, mungkin berjuta-juta orang yang melihatnya setiap hari. Di kalangan mereka ada yang bagus, yang menundukkan pandangan selaras firman Allah dalam Surah An-Nur, “Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan.” Namun, kita harus akui bahawa di kalangan jutaan orang itu ada yang hatinya sakit, ada yang jiwanya perit menanggung kesakitan akibat terlihat wajah-wajah kamu biarpun kamu bertudung litup.

Muslimahku,
Kalau kita lihat dunia gambar bukan main maju lagi. Dahulu, cuma setakat kamera yang perlu dicuci gambarnya. Kini, telefon juga menjadi kamera. Kamera pula lebih dahsyat, lebih instant, sesegera mee segera yang sama kerosakan yang dibawanya penyakit hati.

Alangkah malangnya, kalau wajah-wajah anda yang terpamer itu, mengundang gejolak rasa di jiwa insan bernama lelaki yang beriman akan beristighfar dan memujuk hati, manakala yang sakit jiwanya akan mula mengganggu anda. Mula memburu anda dengan SMS, telefon, hatta mungkin mendekati anda dengan tujuan memiliki anda….Hanya kerana satu kesilapan yang mungkin anda tidak terniat, wajah anda terpampang besar di internet!

Gambar adalah bayangan realiti. Namun mungkin juga ia fantasi. Kadangkala tertipu juga lelaki pada fantasi Photoshop, Fireworks dan seribu satu pengedit gambar lagi. Kalau itu memang tujuan anda, anda tanggung sendirilah. Tapi kalau niat anda cuma berkongsi, dengan tanpa sedar mengajak fitnah bertandang, maka amaran saya, hati-hatilah!

Penyelesaiannya

Andalah sahaja yang mampu menyelesaikannya. Bukan orang lain. Diri anda, andalah yang harus menjaganya. Apa tujuan anda bertudung dan menutup aurat? Bukankah kehendak syariat dan ingin menutup pandangan orang kepadamu? Maka, soalan saya, menundukkan pandangan bukan kehendak syariatkah? Memaparkan wajah anda besar-besar menutup pandangan orang terhadap andakah?

Kerana weblog-weblog dan web foto itu milik anda, seharusnyalah anda kecilkan wajah-wajah anda dengan mengecilkan saiz gambar itu. Banyak cara boleh dilakukan menggunakan perisian pengedit gambar. Belajarlah daripada yang tahu. Hindarkanlah aksi-aksi dan posing-posing yang hanya akan menambahkan lagi kerosakan jiwa masyarakat. Sekiranya niat anda hanya ingin berkongsi dengan rakan muslimah anda, lakukanlah secara tertutup. Elakkan posting yang boleh dilihat oleh segala macam jenis orang. Kalau lebih mudah, anda kirim saja emel bergambar pada rakan muslimah anda itu.

Ingat, wajah anda, anugerah Allah. Anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja.

Wallahu A’lam.

- dipetik dari blog wewr iaitu ~Khabar Dari Urdun~ dalam entri bertajuk Muslimah & Gambar : Ada apa dengannya

Isnin, 28 Jun 2010

.:wanita cantik tu bagaimana?:.

"Bunga yang kembang dan cantik itu jarang yang wangi... Begitulah orang yang cantik jarang berbudi.."


Apabila si gadis dipuji dengan kata-kata, "Awak ni cantiklah", maka akan menguntumlah sekuntum senyuman di bibirnya dan berbungalah hatinya. Tersipu-sipulah dia. Ah... siapa yang tidak seronok bila dikatakan cantik dan lawa? Begitulah resam manusia, seronok bila dipuji kecewa bila dikeji.

Tetapi lain halnya bagi si mukmin yang merasa dirinya miskin dengan Tuhannya. Terasa kerdil tatkala berhadapan dengan pujian dan sanjungan manusia. Wanita yang cantik selalu ditimpa 'perasan' kerana sedar dirinya punya kelebihan. Kata orang, wanita cantik banyak mahunya. Diri rasa bangga, seisi dunia mahu digenggamnya. Kalau ia seorang gadis dirinya sanggup menjadi tukaran dengan wang yang beribu. Ada pula yang rela menjadi andartu. Hidup liar bak merpati, senang didekat dan ditangkap lari.

Jika ia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikannya maka suamilah yang menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan kalah dengan kehendak dan karenahnya. Lebih malang jika si suami pula suka akan kecantikan isterinya. Ia menyayangi isteri atas dasar kecantikannya. Jadilah suami laksana lembu yang dicucuk hidungnya. Ke mana diarah di situlah perginya, alangkah dayusnya dia. Si isteri yang cantik rupawan akan merajuk dan meragam seandai kemahuannya tidak tercapai, mengugut, meraju
k hendak balik kampung atau minta cerai.

Alangkah indahnya jika si isteri tadi, kecantikannya digunakan untuk meniup semangat jihad ke lubuk hati mujahidin. Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang wanita sama
ada cantik atau tidak adalah pada akhlaknya. Kalau dia seorang isteri, ketaatannya pada suami adalah akhlak yang indah. Wanita yang cantik tetapi tidak berbudi pekerti tinggi, lebih-lebih lagi isteri yang cantik yang derhaka pada suami adalah ibarat bunga raya. Cantik warnanya harumnya tiada. Sebaliknya wanita yang tidak cantik tetapi berakhlak mulia, taat kepada suaminya, sentiasa mencari keredhaanNya, ibarat bunga cempaka. Tiada rupa tetapi harumnya memikat jiwa.

Antara bunga raya dan bunga cempaka pastilah cempaka diminati orang. Kasihan si bunga raya, tidak dijual atau dipakai orang. Ibarat gadis murahan yang mempertontonkan kecantikan. Konon nanti ada yang berkenan tetapi tidak sedar diri jadi mainan. Wanita yang kurang cantik pula jika tidak berakhlak akan meyakitkan hati dan mata. Ibarat bunga yang tidak cantik tid
ak pula harum dan wangi. Maka tiadalah apa-apa tarikan dan keindahan padanya.

Usah bangga dan usah pula risau akan paras rupa untuk merebut kasih sayang manusia. Tetapi marilah berlumba-lumba untuk menjadi wanita yang bertaqwa dan berakhlak mulia. Nescaya disayangi Allah serta makhluk-makhlukNya. Seharusnya diri yang dikurniakan Allah dengan nikmat kecantikan sentiasa resah jiwanya. Bukan kerana takut luput kurniaan itu dari dirinya. Bukan jua kerana ada yang iri hati dan mahu menganiayai atau menandingi kejelitaannya. Resah adalah kerana menghitung-hitung pahala-pahala yang tinggal akibat pujian dan sanjungan manusia yang bakal menjerumuskan dirinya ke jurang neraka.


Mengira-ngira bagaimana untuk meruntuhkan gunung mazmumah akibat dari
kecantikan diri yang dijulang bagaikan mahkota. Apa lagi jika kecantikan itu hidangan setiap insan, cantik indah tetapi hina terdedah. Menjadi mainan nafsu dan syaitan. Bersyukur dengan segala nikmat Tuhan. Baik buruk,cantik hodoh itu adalah pemberiNya. Yang berwajah cantik atau hodoh sama-sama perlukan persediaan. Akan tiba saatnya jua di mana yang berwajah cantik indah dikerumuni oleh cacing dan ditimbusi tanah di liang lahad yang gelap lagi sunyi. Tatkala itu bersandinglah manusia dengan kematian. Apakah baru di kala itu mahu diucapkan nikmat iman dan Islam itulah sebesar-besar pemberian Tuhan? Baru sanggup berjuang, berkorban apa saja demi mendapatkannya? Sebelum segala-galanya terlewat sama-samalah kita daki anak-anak tangga menuju ke puncak taubat.

Asal manusia dari setitis mani yang hina. Sehina itulah pula dirimu wahai wanita. Kenangilah nasib diri di hari penghisaban. Segala pinjaman Tuhan itu, untuk apa digunakan. Lunakkan hati, tenangkan perasaan. Lihatlah ke seluruh penjuru alam. Di mana saja mata menjurus di sana ada tanda keagungan Tuhan. Dongakkan kepala ke langit biru, tundukkan wajah ke bumi yang hijau. Saksikanlah kilauan mentari, percikan cahaya bulan dan bintang. Langit yang dijadikanNya tidak bertiang, gunung-ganang tidak berpancang. Usah terlena dibuai keindahan, sesungguhnya pada segalanya itu terkandung pengajaran.



Isnin, 14 Jun 2010

Istimewa Wanita ; Kerna Dirimu Begitu Berharga

19 hadis mengenai wanita

> Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayangnya yang lebih hebat berbanding lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah s.a.w. akan hal tersebut, maka Baginda s.a.w. menjawab, "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyaya
ng tidak akan sia-sia".

> Apabila seseorang perempuan mengandungkan anaknya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah s.w.t. mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahat
an.

> Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah s.w.t. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t.

> Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.


> Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.


> Apabila semalaman ibu tidak tidur dan menjaga anaknya yang sakit, maka Allah s.w.t. memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah s.w.t.


> Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah s.w.t. dan orang yang takutkan Allah s.w.t., akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

> Barangsiapa membawa hadiah, (barang makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah). Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menggembirakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.


> Setiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

> Seseorang perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.


> Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki yang soleh.


> Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab Rasulullah s.a.w., "Suaminya". "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah s.a.w, "Ibunya".

> Apabila memanggil akan engkau kedua ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu terlebih dahulu.


> Semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matah
ari dan bulan beristighfar bagi seseorang wanita selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga solat dan puasanya.

> Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga untuknya. Maka masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.


> Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.


> Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Nabi s.a.w) di dalam syurga.


> Barangsiapa mempunyai tiga orang anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga.

> Daripada Aisyah r.a. "Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka."


Allah berfirman di dalam sebuah hadith Qudsi : "Ketika Aku menciptakan seorang wanita, ia diharuskan untuk menjadi seorang yang istimewa. Aku membuat bahunya cukup kuat untuk menopang dunia; namun, harus cukup lembut un
tuk memberikan kenyamanan."

"Aku memberikannya kekuatan dari dalam untuk mampu melahirka
n anak dan menerima penolakan yang seringkali datang dari anak-anaknya."

"Aku memberinya kekerasan untuk membuatnya tetap tegar ketika orang-orang lain menyerah, dan mengasuh keluarganya dengan penderitaan dan kelelahan tanpa mengeluh."

"Aku memberinya kepekaan untuk mencintai anak-anaknya dalam setiap keadaan, bahkan ketika anaknya bersikap sangat menyakiti hatinya."

"Aku memberinya kekuatan untuk mendukung suaminya dalam kegagalannya dan melengkapi dengan tulang rusuk suaminya untuk melindungi hatinya."

"Aku memberinya kebijaksanaan untuk mengetahui bahawa seorang suami yang baik takkan pernah menyakiti isterinya, tetapi kadang menguji kekuatannya dan ketetapan hatinya untuk berada di sisi suaminya tanpa ragu."

"Dan akhirnya, Aku memberinya air mata untuk dititiskan. Ini adalah khusus miliknya untuk digunakan bila
mana dia perlukan."

"Kecantikan seorang wanita bukanlah dari pakaian yang dikenakannya, penampilan yang dia tampilkan, atau bagaimana dia menyisir rambutnya. Kecantikan seorang wanita harus dilihat dari matanya, kerana itulah pintu hatinya, tempat di mana cinta itu ada."