Halaman

Pengikut

Sabtu, 31 Julai 2010

Teman Muhasabah HEWI

Teman Muhasabah HEWI adalah salah satu program berkala Hewi yang diadakan setiap tengahari hari Jumaat bagi memberi pengisian kepada mahasiswi UTM. Program ini secara tidak langsung menjadi titik pertemuan di antara mahasiswi seminggu sekali sekaligus merapatkan dan menguatkan ukhuwah. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mempermudahkan keberlangsungan TMHEWI kali pertama untuk sem ini.

Objektif program ini dilaksanakan untuk m
emenuhi keperluan mahasiswi dalam mendepani cabaran global di samping melengkapkan mahasiswi dengan kefahaman dan kesedaran jelas tentang Islam dan peranan wanita dalam menjana pembangunan Islam, menjadikan wanita tidak ketinggalan dalam budaya penghayatan ilmu serta arus hal ehwal semasa.
Tajuk yang dipilih pada TMHEWI I adalah I LUV MY HIJAB yan
g telah disampaikan oleh Ustazah Naemah telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para siswi dan juga staf. Isu yang dibincangkan pada kali ini begitu menarik perhatian para peserta seramai 100 orang yang telah menghadiri program.

Antara suasana program yang sempat dirakamkan :


Program TMHEWI diserikan lagi dengan persembahan nasyid dari kumpulan 'Hurul Ain' di hujung program.

Diharapkan program Teman Muhasabah HEWI ini akan berjalan dengan lebih lancar pada kali yang akan datang. Tunggu kemunculan TMHEWI kali kedua di bulan Ramadhan nanti!

Selasa, 27 Julai 2010

TM HEWI Kembali!


Teman Muhasabah HEWI kembali! Kali pertama untuk sem kali ini, membawakan tajuk 'I LUV MY HIJAB' yang bakal disampaikan oleh Ustazah Naemah, Pegawai Hal Ehwal Islam, Masjid Sultan Ismail.

Hijab mempunyai makna yang lebih mendalam. Ta'rif hijab tidak terhad kepada luaran iaitu cara pemakaian atau fesyen apa yang sedang digayakan. Hijab juga membawa erti hijab pada aspek keseluruhan muslimah, baik dari terjaganya syariat, maruah dan akhlakk sekaligus.

Sejauh manakah kita menyayangi hijab sebagai pelindung diri muslimah? Namun, yang lebih penting, sejauh manakah syariat menutup aurat yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. ini kita praktikkan dalam kehidupan? Percaya atau pun tidak, yang tertutup lebih bernilai dan signifikan imejnya berbanding yang terdedah.

Ayuh, mahasiswi sekalian... meriahkan majlis ilmu! Ketahuilah hakikat muslimah berhijab!

Selasa, 20 Julai 2010

JOM BOWLING SISWI UTM..


SKUDAI- 18 Julai 2010(Ahad). Lujnah Sukan dan Kebudayaan (LSK) Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI PMIUTM) telah berjaya menganjurkan satu program berbentuk riadah iaitu kejohanan bowling bersama mahasiswi baru yang mendaftar di UTM pada sesi 2010/2011. Seramai 30 orang mahasiswi UTM telah menyertai kejohanan yang bertemakan “Ukhuwwah dibina, Keserasian Tercipta” ini. Kejohanan tersebut yang telah dijayakan di Skudai Bowl, Skudai Parade, Johor.


Peserta berkumpul di perhentian bas FAB dan bertolak ke tempat kejadian pada jam 10 pagi dengan menaiki bas. Setelah tiba di sana, peserta dibahagikan kepada sepuluh kumpulan di mana satu kumpulan terdiri daripada tiga orang.


Turut serta saudari Saidatun Nor binti Awang @ Dahlan, Naib Presiden 2 PMIUTM merangkap Pengerusi HEWI PMIUTM. Kejohanan dimulakan dengan ucapan alu-aluan ringkas dari saudari Saidatun Nor. “Ini merupakan program permulaan untuk mahasiswi baru dan InsyaAllah terdapat lebih banyak program yang akan menyusul khas untuk siswi di UTM”, katanya di dalam ucapan ringkas tersebut.


Setelah selesai ucapan saudari Pengerusi HEWI, para peserta mengambil tempat masing-masing dan memulakan permainan. Kejohanan ini berakhir pada pukul 12 tengahari dan penyampaian hadiah disempurnakan. Antara hadiah yang dianugerahkan kepada peserta ialah Ratu Bowling yang disandang oleh Saudari Intan Farhana binti Idris dengan 188 jatuhan pin. Juga terdapat anugerah lain seperti Ratu Bola Longkang dan juga Ratu Bola Lepas ke Belakang.


Setelah itu, para peserta berjalan-jalan di sekitar Skudai Parade sambil membeli-belah. Sekitar pukul 1 tengahari, peserta bertolak pulang ke UTM. Turut memberi sokongan serta menyertai kejohanan ini ialah wakil daripada Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) UTM, Saudari Nur Syazana binti Azahar dan juga Saudari Siti ‘Amirah binti Basirun.


Laporan oleh: Nurul Syaiima Othman, Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) PMIUTM.

Isnin, 19 Julai 2010

Muslimah & Gambar ; Aurat @ Menundukkan Pandangan

Terkadang bila melayari weblog-weblog rakan, menjelajah ke dalam dunia maya bagi manusia yang memayakan diri mereka, saya merasa hairan melihat sesetengah weblog muslimah yang bertudung, yang menutup aurat, tidak segan silu pula untuk memaparkan gambar masing-masing. Tiadalah terlalu salah untuk memaparkan gambar anda, ya muslimah sekalian. Namun, sayangnya anda terlupa bahawa gambar yang anda posting itu adalah gambar sebesar skrin 17 inci! Setiap butir jerawat dan bulu halus di muka anda terpampang rapi!

Muslimah & Gambar : Ada apa dengannya?

Tidaklah tujuan saya mengaibkan kalian. Saya adalah rakan kamu. Sahabat kamu. Yang enggan melihat wajah-wajah anda itu, dipaparkan sewenang-wenangnya kepada orang. Biarpun wajah bukan aurat mengikut sesetengah mazhab, namun tatkala fitnah mengundang, tidakkah ia melayakkan ianya ditutup dari pandangan umum?

Muslimahku,
Dunia internet semakin berkembang maju. Satu hari, satu weblog, mungkin berjuta-juta orang yang melihatnya setiap hari. Di kalangan mereka ada yang bagus, yang menundukkan pandangan selaras firman Allah dalam Surah An-Nur, “Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan.” Namun, kita harus akui bahawa di kalangan jutaan orang itu ada yang hatinya sakit, ada yang jiwanya perit menanggung kesakitan akibat terlihat wajah-wajah kamu biarpun kamu bertudung litup.

Muslimahku,
Kalau kita lihat dunia gambar bukan main maju lagi. Dahulu, cuma setakat kamera yang perlu dicuci gambarnya. Kini, telefon juga menjadi kamera. Kamera pula lebih dahsyat, lebih instant, sesegera mee segera yang sama kerosakan yang dibawanya penyakit hati.

Alangkah malangnya, kalau wajah-wajah anda yang terpamer itu, mengundang gejolak rasa di jiwa insan bernama lelaki yang beriman akan beristighfar dan memujuk hati, manakala yang sakit jiwanya akan mula mengganggu anda. Mula memburu anda dengan SMS, telefon, hatta mungkin mendekati anda dengan tujuan memiliki anda….Hanya kerana satu kesilapan yang mungkin anda tidak terniat, wajah anda terpampang besar di internet!

Gambar adalah bayangan realiti. Namun mungkin juga ia fantasi. Kadangkala tertipu juga lelaki pada fantasi Photoshop, Fireworks dan seribu satu pengedit gambar lagi. Kalau itu memang tujuan anda, anda tanggung sendirilah. Tapi kalau niat anda cuma berkongsi, dengan tanpa sedar mengajak fitnah bertandang, maka amaran saya, hati-hatilah!

Penyelesaiannya

Andalah sahaja yang mampu menyelesaikannya. Bukan orang lain. Diri anda, andalah yang harus menjaganya. Apa tujuan anda bertudung dan menutup aurat? Bukankah kehendak syariat dan ingin menutup pandangan orang kepadamu? Maka, soalan saya, menundukkan pandangan bukan kehendak syariatkah? Memaparkan wajah anda besar-besar menutup pandangan orang terhadap andakah?

Kerana weblog-weblog dan web foto itu milik anda, seharusnyalah anda kecilkan wajah-wajah anda dengan mengecilkan saiz gambar itu. Banyak cara boleh dilakukan menggunakan perisian pengedit gambar. Belajarlah daripada yang tahu. Hindarkanlah aksi-aksi dan posing-posing yang hanya akan menambahkan lagi kerosakan jiwa masyarakat. Sekiranya niat anda hanya ingin berkongsi dengan rakan muslimah anda, lakukanlah secara tertutup. Elakkan posting yang boleh dilihat oleh segala macam jenis orang. Kalau lebih mudah, anda kirim saja emel bergambar pada rakan muslimah anda itu.

Ingat, wajah anda, anugerah Allah. Anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja.

Wallahu A’lam.

- dipetik dari blog wewr iaitu ~Khabar Dari Urdun~ dalam entri bertajuk Muslimah & Gambar : Ada apa dengannya